26 October 2013

Dulu lain sekarang lain...

Assalamualaikum..

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah ucapkanlah rasa syukur kepada Ilahi kerana kita masih di keizinan untuk terus bernafas di muka bumi-Nya.  Selamat berhujung minggu buat sahabat-sahabat semua, kepada yang berkerja selamat bekerja. Ukirkanlah senyuman dan janganlah merungut dalam usaha kita mencari rezeki yang halal buat anak-anak, isteri dan keluarga. Apakah perancangan anda buat keluarga anda hari ini? adakah keluar membeli belah, berkelah, Jalan-jalan, atau masak-memasak dengan keluarga?. Luangkanlah sedikit masa bersama degan keluarga anda walaupun sekejap kerana detik itu amatlah bermakna buat mereka dan tubuh anda juga memerlukan rehat.

Kebiasannya setiap hujung minggu saya dan suami akan meluangkan masa untuk keluar bersama membeli barang-barang keperluan dapur. Dulu keluar berdua sekarang dah bertiga, terima kasih Allah mengurniakan kami cahaya mata yang sangat berharga, insyaAllah kami akan menjaga amanah-Mu ini menjadi anak yang soleh. Dulu bila hendak keluar ikut suka hati sahaja nak gerak jam berapa, tapi sekarang semuanya sudah berubah. Tidak ada sudah istilah jam berapa, semuanya bergantung pada keadaan anak. Kalau hendak keluar mesti selepas dia bangun tidur kalau tidak alamatnya mengamuklah dia nanti lebih-lebih lagi anak sepenuhnya menyusu badan. Satu lagi yang menjadi masalah buat diri saya ialah apabila anak hendak menyusu di tempat awam, aduh susahnya macam mana nak bagi susu ni? kadang-kadang saya pergi surau dan ada satu ketika tu saya terpaksa menyusukannya dalam tandas, huhuhu. Mungkin beginilah keadaan ibu-ibu yang masih mempunyai anak kecil dan masih menyusu badan sepenuhnya.

Semoga setiap hari kita manfaatkan hidup kita untuk memberi yang terbaik buat diri dan juga orang lain. Dunia ini ibarat ladang yang perlu diusahakan untuk kita petik hasilnya di akhirat kelak. Kejarlah dunia untuk akhirat dan bukan hanyut dalam manisnya dunia fana yang sementara ini. Curilah sedikit masa yang ada buat orang-orang yang kita sayang.

Salam mesra dan kasih sayang.








22 October 2013

TAKUT

Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirrahim,

Gambar hiasan
Apakah perasaan anda sekarang?adakah takut, sedih, atau gembira? Semuanya dapat digambarkan melalui memek muka seseorang. Takut melibatkan perasaan seseorang yakni membawa maksud merasa bimbang, khuatir, rasa gentar tapi tidak berbuat apa-apa dan sebagainya. Sudah menjadi satu fitrah kita sebagai manusia dikurniakan perasaan takut ini. Perasaan ini mempunyai baik dan buruk yang tersendiri. Sebagai seorang muslim, perasaan takut haruslah ditujukan hanya untuk Allah yang maha esa.

Ada juga dikalangan masyarakat kita yang menjadikan perasaan takut ini sebagai alasan yang mencipta tembok untuk dirinya menceburi dunia perniagaan ini. Ada niat untuk berbisnes tetapi takut jika bisnes gagal. Jesteru itu, mereka takut untuk melepasi dan menembusi tembok ketakutan mereka. Antara ketakutan yang dimaksudkan itu ialah:
  • Takut bangkrap
  • Takut barang tidak laku
  • Takut hendak jumpa dan bercakap dengan orang
  • Takut duit modal hangus
  • Takut kena tipu pelanggan atau pembekal
  • Takut pelanggan tidak ramai
  • Takut kena santau dan buatan orang
Akibat daripada ketakutan inilah akhirnya menyebabkan niat seseorang untuk memulakan bisnes terbantut sehingga niat suci itu terkubur begitu sahaja. Namun, jangan khuatir dan bimbang kerana ada cara untuk mengatasi ketakutan ini iaitu dengan menuntut ilmu dan ubah "mind set" kita kepada perkara-perkara yang lebih positif. InsyaAllah


21 October 2013

Renungan Bersama

Bismillahirramanirrahim,

Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT, Di mana Allah mengurniakan akal kepada manusia untuk kita berfikir serta dapat membezakan pekara yang baik dan buruk. Inilah yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Lihatlah bertapa tingginya darjat seorang manusia dan bertapa sayangnya Allah pada hambanya. Namun adakah kita menggunakan anugerah yang istemewa ini dengan sebaik-baiknya? Setiap manusia Allah telah kurniakan kekuatan dan kelebihan tertentu, namun hanya diri kita sendiri yang mampu untuk gali dan korek apa kelebihan dan kekurangan yang terpendam dalam diri kerana hanya kita yang betul-betul kenal siapa diri kita seadanya. Pengalaman amat penting untuk membina kelebihan dan kemahiran kerana daripada pengalaman kita dapat mempelajari sesuatu yang belum pernah kita alami.


Bersilaturrahim

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim,

Dalam Islam, bersilaturrahim sangat lah dituntut oleh setiap umatnya. Silaturrahim merupakan suatu ibadah yang sangat mulia, mudah dan membawa barakah. Umat Islam tidak seharusnya melalaikan dan melupakannya kerana ia merupakan ibadah yang mulia kerana ianya melibatkan perhubungan dengan manusia sehingga memerlukan pengorbanan waktu untuk melaksanakan amalan soleh ini. Manusia adalah makhluk sosial, di mana saling memerlukan di antara satu sama lain. Di dalam Al-quran sendiri tertulis peringatan supaya umat Islam dilarang sama sekali memutuskan tali silaturrahim ini, maka jelaslah bahawa silaturrahim ini amatlah penting.

Alhamdulillah, semalam kami mendapat jemputan untuk makan malam di rumah sahabat suami. Beliau merupakan  "foreigner" berasal dari Bangladesh, beragama Islam dan telah menetap di Labuan selama tiga tahun bersama dengan anak dan isterinya. Beliau merupakan rakan sekerja suami en. Iftikar Amin Chowddry . Masa inilah kita dapat memgeratkan lagi silaturrahim sesama muslim walaupun berlainan bangsa kerana Islam itu tidak membeza-bezakan umatnya, indah kan Islam ini. Mereka sering kali menjemput kami suami isteri datang bertandang di rumahnya. Seronoknya apabila kita sentiasa bersilaturrahim ini, kita dapat mengenali dan mempelajari budaya mereka. Melalui pemerhatian saya ada sedikit persamaan adat mereka dengan orang melayu iaitu apabila masa menjamu selera kaum lelaki didahulukan dan selepas itu barulah giliran kaum wanita  menjamu selera, lebih kurang sama kan. Makanan yang dihidangkan pun tentulah masakan ala-ala budaya mereka sedap juga dan sebahagian daripada jenis masakan itu sama dengan orang melayu seperti masak kari.

Terdapat beberapa hikmat jika kita sentiasa bersilaturrahim antaranya ialah:

  • Mendapat redha Allah SWT
  • Membuat orang kita kunjungi gembira
  • Menyenangkan malaikat kerana malaikat juga sangat suka bersilaturrahim
  • Disukai oleh Manusia
  • Menambahkan barakah dan dimurahi rezeki
  • Memupuk rasa cinta dan kasih sesama muslim
  • Dipanjangkan usia
Allah SWT berfirman:

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya  Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain , dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS. An-Nisa’: 1)


Hadis Bukhari:


“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezkinya, dan ingin dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahmi.” (HR. Bukhari) 

Zaman sekarang ini, kita sering kali memandang silaturrahim ini pekara yang remeh sehingga ada segelintir masyarakat yang tidak mengenali jiran-jiran yang berada disekeliling mereka. Ada juga yang menjadikan faktor kesibukan yang menghalang untuk mereka bersilaturrahim. Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang suka bersilaturrahim. InsyaAllah


Gambar hiasan


20 October 2013

Bakar membakar

Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirrahim,

Jangan salah tanggapan ya dengan tajuk entri kali ini, bukan apa malam semalam adalah aktiviti bakar membakar kek. Alhamdulillah menjadi juga kek berkat tunjuk ajar saudara Aiman, terima kasih Aiman. Tak sangka dapat buat dua biji kek (kek lobak dan blueberry kek) fuhh sedap siap dengan "deco" lagi. Boleh tahan juga ye nak siapkan dua biji kek ni, mula adun kek lepas magrib dan siap dekat-dekat jam satu pagi, semanggat tu nak menyiapkan kek. Buat bukan main lamanya tapi masa nak makan tu tidak sampai lima minit dah lenyap.

Beberapa hari lalu ada juga saya buat sebiji kek, span kek coklat dia menjadi tapi  masa nak "deco" tu hancur, sedihnya tidak menjadi pula. Rasa hampa dan kecewa jadinya, suami kata span kek dia sedap cuma itu lah rupa dia sanggatlah buruk, hehehe. Itula la kata orang "jangan menilai sesuatu daripada luarannya sahaja". Setelah saya tanya dengan en. goggle rupanya-rupanya saya tersilap beli "whipping cream" ada dua jenis rupanya iaitu Non-Dairy Whipping Cream dan Dairy Whipping Cream atau UHT whipping cream. Non-Dairy Whipping Cream (atau juga dikenali sebagai Fresh Cream @ Whip Topping For Cakes and Pastries @ Whipped Topping @ Whipped Cream) adalah krim yang dibuat khas untuk hiasan kek. Dairy Whipping Cream atau UHT whipping cream adalah merupakan hasil tenusu dan mengandungi kandungan lemak yang lebih berbanding dengan Non-Dairy Whipping Cream (35 % lemak susu). Ia sesuai digunakan dalam masakan-masakan Barat, membuat kek seperti tiramisu (kerana lebih lemak berkrim dan tidak manis) atau hiasan mudah untuk aiskrim atau pencuci mulut ala Barat. 

Ini lah hasil kek semalam walaupun ia tidak secantik kek yang berada di kedai-kedai kek, namun hati ini puas dan gumbira. Tidak mengapa masih boleh diperbaiki lagi, segala cacat celah tu kira halal la ya maklumlah pertama kali kan siapkan kek macam ni. Gambar kek lobak lupa pula nak ambil, teruja sanggat kan sampai terlupa.

Sulam dekat tepi kek


Blueberry cake

Terasa macam nak buat lagi la kek, seronok pula. Nanti bila sudah pandai buat kek ni boleh lah buat bisnes kek pula, hehehehe ada ka orang nak tempah?. InsyaAllah semuanya dalam perancangan.

18 October 2013

"Pelaris"


Perkataan pelaris sinonim dengan aktiviti jual beli dalam perniagaan. Pelaris juga merupakan satu "teknik promosi secara batin", dengan erti kata lain ianya bertujuan untuk barangan jualan seseorang menjadi cepat laku kerana ia mempunyai "aura" tertentu. Namun apabila pelaris di salah ertikan iaitu dengan bantuan sihir dan jin terlibat di dalamanya, itulah yang menyebabkan ianya jatuh hukum syirik dan ianya adalah salah disisi agama Islam. Dalam mencipta pelaris yang sesuai, ianya haruslah dilakukan berlandaskan hukum syariat yang digariskan dalam Islam yakni tidak bercanggah dengan apa yang dibenarkan dalam Islam.

Dalam Al-quarn sendiri isi kandungannya sangatlah lengkap, Allah sudah memberikan garis panduan kepada umatnya dalam segala hal. Selain daripada ayat 1000 dinar, ayat suci Al-quran ( surah faathir:ayat 29-30) yang boleh kita amalkan dalam perniagaan ialah seperti di bawah:


Terjemahannya:




Ayat 29

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; "


Ayat 30 
"Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya)".




Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah menjadikan Al-quran dan sunnah nabi sebagai panduan hidup kerana ianya adalah harta paling bernilai yang ditinggalkan Rasulullah buat umatnya. Barang siapa yang berpegang teguh pada kedua-duanya yakni Al-quran dan sunnah nescaya hidupnya dirahmati oleh Allah SWT di dunia dan akhirat, InsyaAllah.





14 October 2013

Burasak

Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirrahim..
foto: goggle

Pejam celik pejam celik esok dah nak hari raya haji a.k.a hari raya aidiladha. Sedihnya raya haji tahun ini tidak dapat bersama keluarga di kampung. Buat pertama kalinya saya akan beraya hanya bersama suami dan anak tanpa keluarga tersayang. Bukan apa, kami hanya akan balik kampung setelah mak mertua saya selamat pulang dari tanah suci jadi terpaksa la masa itu baru boleh balik sebab cuti suami terhad.Tidak mengapa la yang penting Allah masih beri peluang kepada diri ini untuk sama-sama menyambut kehadiran hari raya aidiladha ini.

Lazimnya di kampung masa-masa macam ini lah keluarga sibuk menyiapkan juadah untuk raya. Lemang, ketupat, dodol, rendang dan macam-macam lagi sudah menjadi kebiasan orang melayu untuk dihidangkan buat para tetamu yang datang berkunjung. Namun lain pula bagi tradisi kaum bugis, menu wajib setiap raya ialah burasak dan ayam masak lengkuas, fuhh, memang sedap. Inilah menu wajib tidak kiralah raya aidiladaha mahupun raya aidilfitri. Selalunya saya akan tolong mak buat burasak, buat kuih, masak ayam, rindu pula dengan mak. Masa untuk memasak burasak ini memang lama kira-kira lima hingga enam jam. Mak biasanya akan menggunakan dapur kayu api untuk masak burasak ini. Memang seronok la kalau di kampung dapat merasa suasana macam ini. Bagi yang tidak pernah lihat atau tidak kenal apa itu burasak, gambar di atas adalah contoh burasak. Jadi buat sahabat-sahabat yang belum pernah merasanya, jom la cuba pasti tidak menyesal, sedap.  Bak kata pepatah sekali cuba nak lagi, hehehe.

Melalui coretan entri kali ini saya ingin mengucapkan salam aidiladha buat semua ahli keluarga yang berada di Bukit Garam, saudara mara, rakan taulan, sahabat-sahabat yang mengenali diri ini, pembaca-pembaca blog serta sahabat-sahabat seperjuangan sekalian. Ampun maaf jika terlanjur perbuatan, terkhilaf kata dan terkasar bahasa. Semoga silaturrahim di antara kita kekal abadi hingga ke akhir hayat, InsyaAllah. Amin








11 October 2013

Yakin Rezeki itu Jaminan Allah!

Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirrahim.

Dua hari tidak dapat kemaskini blog, wah semakin bertambah protege dalam kelas asas blog dan fanpage ini dibawah anak didik kak Normie, alhamdulillah. Tidak kurang juga sahabat-sahabat seperjuangan lain semakin bertamabah mantap dengan hasil karya serta maklumat-maklumat yang memberi manfaat di dalam blog mereka. Terasa diri ini sungguh jauh dan tidak setanding dengan sahabat-sahabat yang lain.

Diri ini tidak akan putus asa dan akan terus berjuang memcapai matlamat asal mengapa saya menyertai kelas online asas blog dan fanpage ini. Saya yakin sejak kita di dalam rahim ibu lagi Allah telah catatkan rezeki untuk kita. Hanya kita perlu sentiasa berdoa, berusaha, ikhtiar dan tawakal untuk mencapainya. Cepat atau lambat itu semua qada dan qadar dari Allah. Yakin lah rezeki itu jaminan Allah! sesuai dengan firman-Nya:

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah mencukupkan keperluannya" (Surah At Talaq ayat 2-3)

08 October 2013

Ciri-ciri seorang peniaga

Bisnes online?? ya sudah menjadi trend masa kini ramai yang menjalankan bisnes online. Dengan kecanggihan teknologi masa kini segala-galanya menjadi tidak mustahil bermacam-macam produk boleh dijual secara online. Berniaga bukan semata-mata ingin mengaut keuntungan kerana dalam perniagaan sering kali juga menghadapi kerugian. Adat lah dalam dunia perniagaan ada untung ada rugi, ada pasang ada surut begitulah perumpamaannya. Semuanya bergantung dengan usaha kita sendiri.

Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan"(Hadis Riwayat Tirmizi). 

Sebagai seorang peniaga, terdapat beberapa perkara yang harus kita amalkan dalam menjalankan aktiviti perniagaan antaranya ialah:
  • Jujur dan amanah
  • Tidak bersumpah dan mengatakan sesuatu yang tidak benar
  • Sentiasa adil
  • Memberi layanan baik kepada pelanggan
  • Tidak mengamalkan "monopoli" atau menyorokkan barang
  • Tidak ada unsur tipu daya dan helah
  • Tidak ada unsur-unsur riba
  • Memiliki akhlak yang mulia disamping pergaluan yang baik
Kesemua ciri-ciri ini haruslah ada dalam diri setiap peniaga tidak kiralah sama ada menjalankan perniagaan secara online mahupun offline. Mudah-mudahan perniagaan yang kita usahakan itu mendapat reda Allah SWT, InsyaAllah.


07 October 2013

Temujanji

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim,

Sejak disahkan mengandung sudah pasti bakal ibu-ibu wajib mendaftar buku merah di klinik-klinik mahupun hospital. Apabila selesai mendaftar, maka bermulalah sesi pemeriksaan kesihatan untuk si ibu sehingga melahirkan, bukan apa ianya untuk kebaikan ibu dan anak juga yang akan bakal dilahirkan. Sudah tentu kita inginkan bayi yang lahir nanti sihat kan. Segala-galanya akan diperiksa ambil darah, buat rawatan gigi, minum air gula dan sebagainya. Apa yang paling seronok ialah masa scan bayi, mesti kita tidak sabar kan mahu tahu jantina bayi kita. Alhamdulillah, semualnya telah saya lalui dengan selamat selama sembilan bulan membawa buah hati ummi Mohammad Asyraf Mouslem bin Sahmsulbahri.

Dulu bawa perut sekarang bawa bayi pula. Tidak sedar sudah 5 bulan anak ummi di dunia ini sungguh pantas masa berlalu. Hari ini Asyraf mendapat suntikan DTaP/DT (dos 3), kesihan juga bila anak kita nangis masa kena jarum tu, tapi itu semua untuk kesihatanya juga mencegah daripada sebarang penyakit. "Sabar ya sayangku Asyraf anak ummi kan kuat" ungkapan itu yang keluar dari mulut saya. 

Adab-adab berpakaian dalam Islam

Salah satu keperluan asas seorang manusia ialah pakaian. Ia berfungsia bukan sahaja untuk melindungi tubuh badan malah boleh melambangkan imej sesorang. Dalam Islam terdapat garis panduan yang telah ditetapkan adab-adab pemakaian. Apa yang dapat kita lihat dewasa ini bermacam-macam fesyen yang digayakan oleh artis-artis terutamanya apabila menghadiri sesuatu majlis. Disitulah kita lihat mereka tidak lagi menghiraukan adab-adab dalam pemakaian Islam, walaupun mereka seorang muslim. Nauzubillahminzalik

Antara adab-adab berpakaian dalam islam ialah:
1. Menutupi badannya.

  • Tidak mendedahkan auratnya iaitu menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan yakni tidak menarik perhatian lelaki yang boleh mengundang kegairahan mereka.

2. Tidak ketat

  • Seharusnya pakaian itu longgar dibadan yakni tidak terlalu ketat sehingga boleh memperlihatkan bentuk tubuh sesorang.
3. Menyerupai lelaki
  • Kita sudah diciptakan sebagai wanita kenapa pula hendak berpakaian seperti lelaki. Seorang muslimah tidak boleh berpakaian menyerupai lelaki yakni "tomboy".
4. Menunjuk-nunjuk/bermegah-megah
  • Islam menyarankan umatnya bersedarhana dalam apa jua keadaan. Dalam pemakaian, muslimah tidak seharusnya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah dengan pakaian yang digayakannya.


.






05 October 2013

Rambut oh Rambut

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim,

Pernah tidak anda mengalami masalah rambut gugur? apa ubatnya ya? apa petua untuk mengatasinya? bahayakah masalah keguguran rambut ini? kenapa terjadi masalah ini ya? sampai bila harus begini?. Rambut merupakan salah satu asset yang penting bagi kaum hawa mahupun kaum adam.

Masalah keguguran rambut ini menjadi semakin teruk selepas saya bersalin. Sebelum ini pun memang rambut saya ada juga yang gurur tapi tidaklah seteruk sekarang. Kata mak memang macam itu kalau sudah bersalin apatah lagi apabila anak sudah pandai nak main-main air liur dia. Apabila saya tanya nurse, katanya normal la macam tu, jangan risau ia hanyalah satu perubahan hormon. Aduh, risau juga saya kalau macam ini terus silap haribulan boleh botak jadinya. Ada juga petua dari makcik saya, dia kata ambil air liur anak kemudian sapu kat rambut. Tapi saya belum pernah cuba lagi, hehehe.

TIPS MEMILIH BAJU MUSLIMAH YANG SESUAI

Tidak dinafikan baju-baju muslimah semakin berkembang pesat dipasaran dengan pelbagai degisn dan fesyen-fesyen yang menarik. Akhirnya kita sering kali menjadi rambang mata untuk memilih baju yang sesuai dengan diri kita sebagai seorang muslimah. Ada beberapa tips yang perlu anda pertimbangkan dalam membuat pemilihan baju muslimah seperti dibawah:

1. Sesuai dengan tuntutan agama Islam

  • "Baju muslimah" sudah mencerminkan diri sebagai seorang muslimah, maka haruslah bertepatan dengan tuntutan agama Islam yakni panjang baju muslimah. Pililah baju yang dapat menutup aurat dengan sempurna, tidak terlalu ketat dan kainnya tidak terlalu nipis sehingga memperlihatkan kulit.
2. Keselesaan
  • Hindari bahan-bahan yang terlalu tebal dan panas, maka pililah bahan yang mudah menyerap peluh kerana dengan keadaan badan tertutup secara menyeluruh mudah untuk badan berpeluh.
3. Pemilihan warna
  • Baju-baju muslimah yang terdapat dipasaran kini sudah tentulah mempunyai pelbagai pilihan warna. Beranikanlah diri bermain dengan warna untuk  mencipta padanan warna yang sesuai dengan warna yang menarik diantara baju dan tudung, keserasian diantara warna baju dan tudung akan menghasilkan penampilan yang menarik dan cantik.
4. Sesuaikan dengan kegunaan
  • Contohnya apabila kegunaan untuk di rumah, pililah baju yang simple, sebaliknya untuk menghadiri sebarang majlis-majlis tertentu, pililah baju yang dihiasi dengan pelbagai hiasan atau aksessori yang sesuai dengan keadaan.
* Dalam menggayakan pakaian muslimah apa yang harus kita tekankan ialah pemakaian haruslah berlandaskan syr'i dalam ajaran Islam yakni menutup aurat. Tidak salah kalau hendak "berfesyen", namaun haruslah menitikberatkan penampilan sebagai muslimah agar menepati adab-adab berfesyen yang dituntut dalam ajaran Islam.



04 October 2013

"Copy and Paste"

Assalamualaikum,

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam ceria salam Jumaat yang penuh barakah ini penghulu segala hari, alhamdulillah saya masih diberi khudrat untuk menekan papan kekunci bagi meneruskan entri saya yang seterusnya. Sedar tak sedar tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, selamat pulang buat semua jemaah-jemaah haji yang berada di tanah suci semoga mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah

Anak merupakan anugerah yang paling berharga dan tidak ternilai harganya. Perkembangan tumbesaran kanak-kanak dipengaruhi oleh keadaan sekelillingnya. Apabila kanak-kanak melihat, kanak-kanak akan mengikut dan melakukannya. Seperti yang berlaku pada diri saya sendiri sewaktu saya tengah solat, datang anak sedara saya yang berusia setahun lebih dia turut meniru cara saya solat (rukuk dan sujud). Maka, tetapkan satu contoh yang baik mahupun teladan yang baik untuk anak-anak anda agar menjadi anak yang soleh dan soleha suatu masa nanti, insyaAllah. 


03 October 2013

Debaran Demi Debaran

Assalamualaikum,
Bismillahirrahmanirrahim.


UPSR, PMR, SPM dan STPM merupakan peperiksaan besar dalam zaman persekolahan. Alhamdulillah saya sudah melepasi semuanya. UPSR sudah pun berlalu, kini tiba pula giliran PMR. Ibubapa, guru-guru dan  para pelajar sudah semestinya merasai debaran untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Setelah penat lelah guru-guru mendidik, membimbing, mengadakan pelbagai program seperti kelas tambahan, bengkel-bengkel menjawab kertas peperiksaan dengan betul dan seumpamanya, kini tibalah pula masanya para pelajar bertempur di medan peperangan dengan mengeluarkan semua ilmu yang di curahkan kepada mereka semoga bekalan mereka cukup untuk bertempur dengan jayanya. 

Pengalaman menjadi guru ganti di Smk Mutiara WP Labuan setahun yang lalu merupakan sesuatu yang sanggat berharga buat diri saya. Memang tidak ku sangka dan ku duga bahawa saya akan menjadi sebahagian daripada seorang pendidik. Subjek sejarah adalah subjek yang saya ajar bagi tingkatan tiga, dua dan empat. Memang bermacam-macam karenah pelajar yang saya temui, tidak kurang juga ada pelajar-pelajar yang nakal terutamanya budak-budak lelaki. Menjadi seorang pendidik ini memang memerlukan kesabaran yang kuat dan azam yang tinggi. Walaupun kontrak saya sebagai guru ganti sudah lama tamat, namun apabila terserempak dengan bekas-bekas pelajar mereka masih memanggil saya "cikgu". Wahh, memamg besar darjat sesorang yang bergelar guru ini.

Kepada adik-adik yang bakal menduduki SPM, STPM teruskan usaha anda untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Jangan lupa sentiasa berdoa pada Allah, hormati guru dan taat pada ibubapa. Minta restu dan reda mereka kerana restu dan reda mereka amatlah berharga. 

02 October 2013

Kenapa Allah Masih Hidupkan Aku Hari Ini?

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Pernahkah kita terfikir dan bertanya pada diri kita sendiri  mengapakah Allah masih hidupkan aku hari ini?.Sebagai kalifah yang bergelar manusia menumpang hidup di muka bumi Allah ini, kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tidak kira la kesilapan itu besar ataupun kecil. Tidak ada makhluk yang sempurna selain Allah.

Jesturu itu, sebelum malaikat maut datang menjemput perbaiki diri perbanyakkan amalan agar apabila kita kembali kepada pencipta , kita tidak malu untuk berhadapan denganNYA. Allah itu bersifat maha pemurah lagi maha penyayang, kerana dosaku terlalu banyak maka Allah masih mengizinkan aku (beri masa) untuk bertaubat.

01 October 2013

Digigit Tikus

Tikus??? ramai yang geli dan jijik dengan binatang sekecil ini, ada yang melompat malah ada juga menjerit sebaik sahaja terlihat binatang ini. Binatang ini juga merupakan makhluk ciptaan Allah, namun binatang ini banyak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita.

Kenapa pula saya becerita tentang tikus pagi-pagi ini. Beberapa hari yang lalu sekitar pukul 2 pagi saya dikejutkan dengan satu gigitan yang tidak tahu binatang apa. Apabila saya lihat dekat lengan ada kesan lebam. Syukur alhamdulillah bukan baby saya yang digigit. Saya terus bangun dan kejutkan suami, kami terus mencari-cari binatang apakah yang mengigit lengan saya itu?? Tetapi malangnya kami tidak jumpa satu ekor binatang pun dalam bilik. Suami pun terus menyambung sisa baki tidurnya yang terganggu. Namun bagi diri saya pula tidak dapat melelapkan mata selagi binatang itu tidak ditemui. Tidak lama kemudian saya terlihat ada seekor tikus berlari-lari dibelakag almari. Sah memang sah tikus yang mengigit lengan saya.

Keesokan harinya, suami membawa saya pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan  jikalau gigitan tikus ini membahayakan. Kita sedia maklumkan tikus ini binatang pembawa penyakit terutamanya urine atau air kencing tikus boleh membawa  maut. Namun alhamdulillah doktor mengesahkan tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan saya diberikan satu suntikan dekat lengan. Sebaik sahaja pulang dari Hospital suami singgah di sebuah kedai untuk membeli perangkap tikus.

Malam itu suami nekad untuk pasang perangkap tikus dengan berumpankan ikan kering. Malangnya malam itu suami pula digigit dekat jari, mungkin sebab tangan suami masih berbau ikan kering kot. Pada malam itu seekor tikus pun tidak ada yang terkena cuma ikan kering saja yang hilang tapi tikus tidak mengena. keesokanya pula barula tikus itu termakan jerat, sekali dua ekor pula itu terjerat. Mungkin satu ekor yang gigit saya dan satu lagi yang gigit suami..Perangkap tikus itu sampai sekarang masih lagi dipasang namun sejak dua ekor sudah tertangkap sampai sekarang belum ada lagi tikus yang terjerat.